Seringkali kita mendengar setiap kali apabila berlaku perpisahan antara pasangan suami isteri, antara alasan yang sering diberikan ialah kurang persefahaman antara suami dan isteri. Pada hal, ada antaranya sebelum berkahwin bukan main mesra dan saling tak dapat dipisahkan keduanya, sehingga digelar pasangan ideal, sehati-sejiwa dan macam-macam lagi. Tapi bila berumahtangga hanya kekal 1-2 tahun. Mengapa?
Memang benarlah antara kunci pertama kerukunan rumahtangga ialah kedua belah pihak perlu berkomunikasi dan bersikap toleransi antara keduanya.
Lantaran itu, apabila seorang teman tiba-tiba meminta tips dan panduan dari saya sebagai bekalan untuk beliau yang bakal mengharungi kehidupan berumahtangga. Langsung terlintas untuk saya berkongsi beberapa panduan khususnya dari sudut komunikasi antara suami dan isteri.
Di kesempatan ini saya rakamkan beberapa perkongsian saya dengan teman saya tadi, hasil dari pengalaman dan juga pengamatan dari kes-kes kaunseling atau mahkamah yang pernah saya kendalikan. Antaranya ialah:
Pertama: Jangan simpan-simpan, tapi luahkan
Dalam rumahtangga, usah sesekali simpan perasaan dalam hati. Jika ada sesuatu yang tidak kena, jangan simpan tapi luahkan.
Suami dan isteri perlu berkongsi dan nyatakan apa yang kita suka dan tidak suka, atau tidak bersetuju kepada pasangan masing-masing. Baik dari sudut pergaulan seharian, sikap buruk masing-masing, isu anak-anak sehinggalah kepada perkara-perkara yang bersifat peribadi seperti jenis hubungan intimasi yang mereka gemar atau tidak mirip padanya.
Terdapat pasangan yang hanya berdiam diri dan simpan dalam hati, walaupun tidak suka dengan sikap atau tindakan yang dilakukan pihak suami atau isteri. Ini suatu perkara yang sangat kurang sihat. Ada pula yang yang sampai bertahun-tahun pendam di hati, apabila sudah terlalu lama, ianya meletup dan tidak dapat dipulihkan kembali dan langsung bercerai.
Adalah penting untuk kita nyatakan dan zahirkan apa yang kita tidak suka, agar pasangan tahu. Jangan bersikap diam diri dan harapkan pasangan memahami diri kita segala. Kaum lelaki khususnya jenis yang sukar faham perkataan yang tersirat, dengan ini pihak isteri perlu nyatakan secara ‘direct’ dan langsung supaya mesej yang diharapkannya jelas dan sampai.
Begitu juga jika kita tidak sependapat dengan gaya didikan anak-anak atau disiplin pasangan yang bertentangan dengan nilai yang dipegang oleh kita. Atau, kita tidak suka suami atau isteri kita terlalu manja atau mesra dengan teman-teman atau rakan sekerja yang berlainan jantina, sedangkan bagi pasangan kita pergaulan tersebut adalah satu perkara biasa dan lumrah.
Segalanya perlu kita cakap dan luahkan, usah malu, segan dan simpan perasaan anda. Tapi, luahkan!
Kedua: Kecil bagi kita, besar bagi dia
Setiap perkara atau isu yang kecil bagi kita, mungkin besar bagi pasangan kita dan begitu juga sebaliknya.
Dengan itu, hendaklah kita menghormati pasangan kita, raikan apa yang dia suka dan tidak suka. Jangan ambil mudah.
Ambil kira pendapat dan keprihatinan, serta apa yang tidak disukai pasangan kita. Berusahalah perbaiki diri, dan cuba seberapa daya tidak melakukan perkara yang dibenci pasangan kita, walaupun bagi kita ia perkara yang remeh dan enteng.
Mungkin perkara bagi memastikan rumah sentiasa kemas dan tersusun, mengemas katil tempat tidur, meletakkan akhbar pada tempatnya adalah perkara kecil bagi kita, tapi tidak bagi isteri atau suami kita. Begitu juga dalam perkara seperti menengking, tinggi suara, pekik dan herdik kepada pasangan, hendaklah kita cuba elakkan seberapa daya baik bagi suami mahupun isteri.
Mungkin mula berkahwin tak perasan, tapi jika sudah lama pastinya kita sudah tahu apa yang disukai dan tidak disukai pasangan kita.
Dalam hal ini kembali kepada poin perkara pertama, luahkan! Dan ingat, yang kecil bagi kita tak semestinya kecil pada orang lain.
Ketiga: Berbincang, bukan mengarah
Menghormati mendapat pasangan bukan sahaja bagi isteri terhadap suami tetapi juga keduanya. Bagi suami khususnya walaupun sebagai pemimpin dalam rumahtangga, perlu memberi ruang untuk isteri bersuara dan beri pendapat, bukan mengarah sahaja.
Apalah salahnya untuk meminta pendapat dari si isteri, lebih lagi jika punyai isteri yang bijak dan ada pula kemahiran tertentu. Jika isteri kita seorang perancang kewangan contohnya, rujuklah pendapat beliau dalam pengurusan bajet atau dalam perancangan kewangan keluarga.
Rumahtangga perlu persefahaman kedua belah pihak. Ya suami adalah pemimpin, tapi pemimpin yang baik perlu syura. Perlu konsultasi, perlu saling berbincang. Pemimpin yang baik pastinya bijak dalam membuat keputusan, serta akan mendapatkan maklum balas dari isteri sebelum membuat sebarang keputusan.
Terdapat juga suami yang jenis suka dengar dari kawan-kawan yang mereka lepak bersama, saya gelarkan golongan ini sebagai kawan kedai kopi, apa sahaja yang kawan kata semuanya betul, padahal sebelum tu kadangkala isteri dah cakap dulu. Malah kadangkala kawan yang diminta nasihat ini pun dua kali lima juga. Keluarga sendiri pun tak teratur.
Dalam hal ini, suka saya berkongsi panduan dari Nabi s.a.w. kita sendiri. Baginda s.a.w. dalam sesetengah perkara akan merujuk kepada pendapat para isterinya. Masih ingat lagi peristiwa selepas Nabi s.a.w. menerima wahyu? Siapa yang menenangkan Baginda? Siapa pula yang mencadangkan supaya Rasulullah berjumpa dengan seorang rahib yang bernama Waraqah Bin Nawfal, kalau bukan Khadijah r.a.?
Bagitu juga dalam satu peristiwa selepas perjanjian Al-Hudaibiyyah yang diriwayatkan dalam Sahih Bukhari, Nabi memerintahkan kepada para sahabatnya untuk bangkit bagi menyembelih untuk korban dan bercukur, sehingga diulangnya sehingga tiga kali, namun tiada satu pun yang berdiri. Lalu Nabi pun mengadu kepada isterinya, Ummu Salamah yang kemudian memberikan pendapatnya:
“Ya Rasulullah, adakah kamu ingin melakukan demikian? Hendaklah kamu keluar dan jangan berkata sepatah katapun kepada mereka, sehinggalah kamu menyembelih untamu dan kamu panggil tukang cukur untuk mencukur rambutmu.” Lalu Rasulullah pun melakukan demikian. Maka para sahabat pun bergegas melakukan korban dan saling mencukur antara mereka seperti yang diinginkan Nabi s.a.w.!
Jika Nabi pun berbincang dan kadangkala mendengar pendapat isteri, mengapa tidak kita? Tidakkah beruntung mendapat isteri yang bijak lagi pandai, yang dapat bagi kita berbincang serta saling bertukar-tukar pandangan?
Keempat: Kalau salah, mengaku. Kalau betul, usah di-ulang-ulang
Antara kebiasaan yang baik dilakukan antara pasangan suami isteri ialah amalan untuk mengaku kesilapan setiap kali melakukan sesuatu kesalahan dan saling meminta maaf.
Apakah perasaan kita bila kita sedang marah dengan seseorang, kemudian orang tersebut tetap berkeras tidak mengakui kesilapannya apatah lagi mengaku kesalahannya, walaupun memang nyata kesilapannya. Tidakkah pihak yang satu lagi akan semakin marah dan hubungan semakin tegang, apatah lagi jika ia berterusan setiap hari?
Bayangkan pula senario sebaliknya, jika seseorang itu lantas meminta maaf sesudah tersilap, tidakkah pasangan yang satu lagi akan rasa sejuk dan kurang marah. Tidakkah pernah kita rasa begitu?
Ingatlah usaha dan langkah yang sekecil ini kadangkala boleh memperbaiki keadaan, elakkan dari menyebabkan sesuatu yang asalnya kecil menjadi lebih besar dan hangat, hanya kerana kedua-duannya tidak mahu beralah dan bertolak ansur.
Pada masa yang sama, usah pula jika kita di pihak yang betul, untuk berulang-ulang kali mengungkit kebenaran kita walaupun pihak yang satu lagi sudah pun mengakui kesilapannya. Ini juga boleh menyebabkan pergaduhan, atau pihak yang asalnya sudah mengakui kesilapan dan meminta maaf menjadi berang kembali kerana pasangannya sering mengungkit kesilapan suami atau isterinya.
Maka sebaiknya, kalau salah, mengaku. Kalau betul, usah di-ulang-ulang.
Semoga panduan yang dikongsi bersama teman saya ini dapat juga memberi manfaat bagi bakal mempelai, begitu juga untuk yang sudah berumahtangga baik yang masih baru atau yang sudah lama selain dapat menjadi peringatan untuk kita bersama agar kehidupan rumahtangga dan perkahwinan kita rukun, damai dan harmoni.
Bagi mengikuti kursus berkaitan komunikasi rumahtangga dan kekeluargaan pada 12 November 2020 ini melalui zoom, sila ke link berikut, https://www.yusriyusoff.com/religious-classes
Bagi mendapatkan khidmat kaunseling, sila ke link berikut,
Bagi yang ingin memiliki buku Warna-Warni Kehidupan, sila ke link berikut, https://www.yusriyusoff.com/shop-front
Bagi yang ingin membaca artikel-artikel lain yang menarik berkenaan informasi tentang rumahtangga, sila ke link berikut, https://www.yusriyusoff.com/articles/categories/rumahtangga
Comments