top of page
Writer's pictureYusri Yusoff

6 Cara Meraikan Ramadan Bersama Keluarga

Suka saya mulakan perkongsian ini dengan mengajak para pembaca sebelum itu untuk sama-sama kita bermuhasabah bersama sepanjang Ramadan yang telah berlalu ini.


Adakah Ramadan hanya terhad untuk diri kita sahaja? Atau kenikmatan beribadah pada bulan ini juga turut sama dirasai oleh ahli keluarga kita yang lain? Bagaimana pula dengan anak isteri kita? Adakah mereka turut sama berterawih ke masjid? Jika kita bersendirian berterawih di masjid, sementara mereka pula di rumah. Adakah mereka turut sama berterawih juga seperti kita?


Dalam kita ingin mendekatkan diri pada Allah, kadangkala kita kurang sedar akan keperluan untuk turut sama melibatkan keluarga kita yang lain. Pada hal ketika inilah peluang untuk kita mengeratkan hubungan antara satu sama lain, selain saling memperingatkan keluarga kita bagi memanfaatkan kelebihan pada bulan Ramadan ini.


Banyak sebenarnya wadah ibadah sepanjang Ramadan ini yang boleh kita lakukan bagi mencapai usaha ini, antaranya:


1. Bersahur Bersama

Bersahurlah bersama keluarga. Kejutlah keluarga kita termasuk anak-anak kecil untuk turut sama bersahur. Dengan bersahur bersama, ini secara tidak langsung sekurang-kurangnya mampu memberi motivasi untuk mereka bangun bersahur. Bukankah lebih ramai lebih meriah?


Malah, bersahur ini sebenarnya merupakan amalan yang penuh dengan keberkatan, Nabi s.a.w. sendiri pernah bersabda: “Bersahurlah kamu, bahawasanya sahur itu ada keberkatan”. (Hadis riwayat Imam Bukhari Bukhari)


Para ulama menyatakan maksud berkat ini, selain membezakan dari amalan puasa orang-orang bukan Islam, ia juga memberi peluang kepada kita untuk memperolehi rahmat dan kebaikan selain ganjaran pahala dari Allah, mentelah lagi waktu sahur juga merupakan peluang untuk kita turut sama beribadah kepada Allah. Pada masa yang sama juga, dengan bersahur ia mampu memberi tenaga tambahan bagi kita mengharungi ibadah puasa selepas itu. Ini menjadi lebih genting terutamanya buat anak-anak kecil kita yang baru berjinak-jinak diri dengan ibadah puasa.


2. Membaca Al-Quran Bersama

Di kesempatan Ramadan ini, adakah kita sering membaca Al-Quran? Jika Ya, bagaimana pula dengan isteri dan anak-anak kita? Mengapa tidak kita membaca bersama atau bertadarus? Atau, paling tidak kita saling ingat mengingatkan antara satu sama lain.


Tidakkah ingin kita mencontohi sifat dermawan Nabi s.a.w. yang sangat terserlah dalam Ramadan kerana sering bertadarus membaca Al-Quran pada bulan ini?


Malah, lebih bermakna lagi dapat kita renungkan maksud ayat yang dibaca dan dikongsi bersama keluarga. Alangkah, indahnya jika ini dapat menjadi realiti dan amalan kita sekeluarga?


3. Iftar Bersama

Iftar ketika Ramadan merupakan satu peluang yang tidak patut dilepaskan untuk saling berbuka bersama-sama keluarga.


Pada masa yang sama, selain dari berbuka bersama anak dan isteri. Menjadi satu amalan yang baik juga andai kata kita kita tinggal berdekatan, untuk turut sama berbuka bersama orang tua kita sendiri, mahupun bersama mertua.


Malah, inilah peluang untuk kita menggembirakan kedua ibu bapa kita serta melahirkan keihsanan pada diri mereka. Ini menjadi lebih sangat dialu-alukan, lebih-lebih lagi jika kita tidak lagi tinggal bersama kedua ibu bapa.


Saya kira, ini antara perkara yang paling mudah untuk kita lakukan bersama di bulan Ramadan yang mulia ini. Tidak begitu?


4. Solat Terawih Berjemaah

Solat terawih juga merupakan satu peluang besar untuk kita turut sama meraih ganjaran pahala bersama keluarga. Bagi yang berkesempatan ke masjid bersama keluarga.


Alhamdulillah, teruskanlah. Bagi yang ke masjid seorang diri, usah dilupa keluarga di rumah. Sayang, jika hanya kita sahaja yang mendapat pahala, tetapi yang di rumah tidak dididik sama.


Tiada salahnya solat di rumah bersama keluarga, jika itu mampu mendidik isteri dan anak-anak yang masih kecil. Malah, dengan kita sendiri yang menjadi imam, si bapa mampu mengawal kadar kelajuan solat yang bersesuaian untuk anak-anak kecil kita yang turut sama bersolat.


Begitu juga, mengapa tidak sekali-sekali kita berkumpul bersama ibu bapa, adik beradik serta ipar duai untuk iftar sambil berterawih bersama? Ini juga pastinya dapat juga mengeratkan hubungan kekeluargaan di samping mengukuhkan kerohanian kita bersama.


Malah, ini menjadi lebih bermakna, jika usaha ini dapat menghidupkan amalan ibadah pada anggota keluarga yang mungkin jarang-jarang melakukan solat terawih.


5. Solat Malam Bersama.

Berkaitan ibadah solat malam, ingin saya kongsi bersama sepotong hadith yang meriwayatkan tentang amalan Rasulullah s.a.w. pada 10 malam terakhir. Hadith tersebut berbunyi: “Apabila telah masuk 10 terakhir bulan Ramadan, maka Nabi menghidupkan malam, mengejutkan isterinya dan mengetatkan kainnya (tidak menyetubuhi isterinya kerana amat sibuk dengan ibadah).” (Hadis riwayat Imam Muslim)


Maka contohilah amalan mulia Baginda s.a.w. ini, jika kita bersolat malam, usah dilupa pada keluarga kita terutamanya isteri kita. Kejutlah mereka agar ganjaran ibadah solat malam terutama pada 10 malam terakhir ini dapat kita raih bersama.


6. Doa Bersama

Sebagai penutup, ingin saya kongsi bersama juga doa yang diajarkan Baginda buat isterinya Aishah r.a. Diriwayatkan bahawa Aishah r.a. pernah berkata: “Wahai Rasulullah, beritahukan kepada saya, apabila saya mengetahui pada malam apa Lailatul Qadr itu, apakah yang harus saya ucapkankan padanya? Baginda bersabda:


اَلَّلهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ اْلعَفْوَ، فَاعْفُ عَنَّيْ


“Ucaplah: Ya Allah, Engkau adalah Maha Pemaaf, suka memaafkan, maka maafkanlah aku).”


Lihatlah akhlak Rasulullah s.a.w., Baginda s.a.w. suka berkongsi perkara yang baik-baik pada keluarganya. Maka mengapa tidak kita? Marilah kita amalkan doa yang baik ini, setiap kali kita selesai solat bersama keluarga kita. Semoga Allah bukan sahaja mengampunkan dosa kita, tetapi juga dosa ahli keluarga kita.


Ramadan merupakan bulan kasih sayang, lantas rugi jika kita tidak mengambil kesempatan ini untuk mengukuhkan hubungan kekeluargaan kita, kerana padanya banyak yang boleh kita lakukan secara bersama pada bulan yang suci ini seperti yang dikongsikan sebelum ini.


Ambillah keberkahan Ramadan untuk terus kita memperkukuhkan hubungan kekeluargaan. Ramadan harus dilihat sebagai kesinambungan kepada usaha yang telah dilakukan sepanjang tahun dan perlu berterusan sehingga walau selepas Ramadan. Hakikatnya Ramadan hanya sebulan tapi hubungan antara anggota keluarga itu perlu disemai setiap masa.


Semoga amal ibadah kita pada tahun ini bukan sahaja memberi kesan pada diri kita, tetapi juga pada seluruh keluarga kita. Agar dengannya ia mampu mempereratkan lagi tali silaturahim antara kita. Amin.


Bagi mengetahui kursus-kursus menarik berkaitan rumahtangga dan kekeluargaan, sila ke link berikut, https://www.yusriyusoff.com/religious-classes


Bagi mendapatkan khidmat kaunseling, sila ke link berikut,



Ramadan Bersama Keluarga
Iftar sambil beribadah bersama Keluarga

Photo by khats cassim from Pexels


576 views0 comments

Recent Posts

See All

コメント


bottom of page