Apabila kita berbicara tentang mertua dan menantu, biasanya jarang kita mendengar anak menantu lelaki mempunyai sebarang isu dengan ibu mertua, atau anak menantu perempuan berkelahi dengan dengan bapa mertua. Ia mungkin nampak stereotaip atau klise, tetapi begitulah hakikatnya. Namun begitu, mengapa ya?
Apa yang dapat saya simpulkan di sini ialah mungkin disebabkan harapan pada seorang yang isteri secara semula jadi. Yang namanya isteri perlu pandai memasak, rajin mengemas rumah dan lain-lain lagi tugasan yang biasanya dikaitkan dengan seorang isteri. Bayangkan kalau menantu perempuan balik kerja dan langsung tidur disebabkan terlalu letih dan penat, dan selepas itu selesai sahaja terjaga dari tidur, langsung terus ke dapur dan makan apa sahaja yang sudah terhidang di meja. Agak-agak apakah respon dari mertua kita?
Pastinya kemungkinan besar ibu mertua dalam banyak keadaan akan tidak senang hati dan tidak mustahil kadangkala perbuatan tersebut akan mengundang kepada leteran mertua!
Mungkin bagi seorang isteri yang pernah menghadapi keadaan yang serupa akan mengangguk tanda setuju dan mengeluh sebagai mangsa keadaan.Tapi itulah sebenarnya cabaran menantu moden pada masa kini yang kebanyakannya berkarier.
Elakkan Dari Menjadi Menantu Ting Tong
Lebih dasyat lagi, terkadang ada pasangan yang sampai bercerai-berai kerana kes mertua. Saya sendiri pernah mengendalikan beberapa kes seumpama ini ketika sesi hakam di mahkamah Syariah atau ketika sesi kaunseling di masjid yang pernah saya kendalikan.
Nasihat saya kepada pasangan sebegini ni, terutama si isteri…
“Kita tidak punyai kuasa untuk merubah seseorang (Ibu mertua), tetapi kita punyai kuasa untuk mengubah diri sendiri’
Betul, kalau kita punya kuasa ubah orang lain. Pastinya kerja kita akan lebih mudah dan senangkan? Betul tak?
Tidak perlu kita berkelahi atau tarik muka. Bahkan semua di sekeliling kita kesemuanya akan menjadi aman. Tapi keadaan tidak sedemikian. Hidup kita kadangkala tidak ideal. Tidak kesemua perkara yang kita inginkan bakal menjadi kenyataan.
Namun, apa yang pasti dengan perubahan yang kita lakukan pada diri sendiri, ia akan memberi impak pada tanggapan orang lain pada diri kita.
Kisah Menantu Hantu
Suka saya ingin berkongsi di sini satu cerita ‘rekaan’ yang mungkin boleh kita jadikan satu iktibar dan panduan bagi mana-mana menantu yang punyai krisis dengan mertua.
Ceritanya begini, terdapat seorang menantu bernama ‘Siti’. Beliau ini tidak sehaluan dengan ibu mertua yang tinggal bersamanya dan keluarga. Macam manalah si ibu mertuanya tidak sehaluan dengannya? Siti jenis menantu yang tidak gemar ke dapur, tidak buat kerja rumah dan segala perkara yang biasanya dikaitkan dengan si isteri. Oleh kerana itu, beliau sering menjadi mangsa leteran mertua. Suatu hari, Siti sudah bertekad dan nekad. Satu cara untuk bebas dari segala isu dan krisis ini ialah dengan menghapuskan ibu mertuanya! Macam cerita Sinetron pula ya?
Dengan itu, Siti pun pergi ke kedai ‘singseh’ (ubat herba dan tradisi cina) untuk beli racun atau ubat untuk lenyapkan si ibu mertua buat selama-lamanya. Tapi pada masa yang sama, Siti tidak ingin ‘ubat’ yang boleh langsung meracuni dan meragut nyawa ibu mertuanya, beliau hanya inginkan ubat yang mampu meragut nyawa ibu mertuanya secara perlahan-lahan agar kesakitannya lebih pedih. Kejam sungguh Siti. Maka Apek singseh pun mencadangkan satu ubat istimewa, cara menggunakan ubat ini pula, perlulah dimasukkan ke dalam lauk pauk yang sedang dimasak.
Perubahan Sikap Kita Membantu Mengubah Sikap Orang Lain Pada Diri Kita
Maka mula dari hari itu, Siti pun terpaksalah memasak setiap hari sambil memasukkan racun pada lauk pauk tersebut. Dipendekkan cerita, mertua Siti semakin sayang padanya! Apakan tidak, Siti sebelum ini tidak pernah ke dapur, sudah mula ke dapur. Malah bukan setakat masuk dapur, tapi ditolong memasakkan sekali! Semakinlah mak mertua Siti gembira. Bukan itu sahaja, Siti juga sudah mula ringan tangan dan mula mengemas rumah.
Cuma terdapat satu masaalah baru buat Siti. Siti juga sudahpun mula sayang pada ibu mertuanya! Bagaimana ya?
Maka Siti pun pergi ke kedai Singseh tempat di mana beliau beli racun dahulu. Siti pun bertanya pada tuan punya singseh: ‘Apek! Awak ada ubat matikan itu racun tak? Saya sudah sayang sama ibu dan tidak mahu ibu saya matilah…’
Maka apek tersebut pun jawab: ‘Hai Siti! awak jangan takutlah, itu ubat pun tidak matikan orang punya. Itu ubat sebenarnya. Ubat bagi sihat. Bagi hidup lama punya!’
Siti pun lega dan gembira kerana ibu mertuanya makin sihat dan sayang pula pada Siti, dan Siti pun kini sayang padanya. Siti juga sudah mula insaf dan sedar kesilapannya yang lalu, dan meminta maaf dan mertuanya dan mula sedar bahawa segalanya sebenarnya berpunca dari diri sendiri.
Pengajaran dan Huraian Kisah Menantu, Apek Singseh dan Ibu Mertua
Terdapat sebenarnya beberapa pengajaran dan huraian dari kisah yang saya kongsikan tadi, antaranya:
Pertama: Ubah Sikap Negatif
Usahlah sesekali kita mencari kesilapan orang, atau dalam kes yang dikongsikan tadi mertua kita. Ia sebenarnya bukan satu huraian. Mengapa?
Ini kerana kita tidak punyai kuasa untuk ubah seseorang. Ia di luar kawalan kita. Maka kita ubahlah diri kita sendiri. Muhasabah diri kita. Imbas sekali dan renung semula apa kesilapan kita?
Mengapa ibu mertua tidak suka diri kita? Mengapa orang benci pada kita? Pasti ada sebab utama.
Jadi penyelesaiannya ialah kita perlu muhasabah diri, dan cuba perbaiki segala kelemahan diri. Dengan kita mengubah diri kita, secara tidak langsung dapat mengubah tanggapan dan sikap orang yang benci kepada kita.
Kedua: Bertolak Ansur Dengan Mertua
Seperkara lagi, sebenarnya jika kita renung semula kisah Siti tadi, perkara tersebut akan dapat lebih awal lagi diselesaikan andai kata Siti bersikap bertolak ansur dengan mertuanya dan tidak mengangap mereka sebagai seteru atau musuh.
Jika ibu atau bapa mertua kita salah sekalipun dan marahkan kita, apalah salahnya jika kita bertolak ansur dan meminta maaf pada ibu bapa mertua.
Andai kata sekalipun, jika kita rasa kita yang betul. Pastinya kurang wajar jika kita ingin menjangkakan dan mengharapkan mertua yang akan datang meminta maaf pada diri kita!
Tidak mengapa, malah merupakan suatu perkara yang terpuji untuk kita menolak rasa ego dan memaafkan dan meminta maaf dari mertua.
Konflik Antara Suami bersama Isteri dan Ibu Sendiri
Bercakap mengenai ibu mertua dan anak menantu. Kadangkala si suami yang terhimpit di tengah-tengah. Apa tidaknya, jika sokong ibu. Isteri akan berkata yang si suami anak mak. Sokong isteri, mak pula berkata si anak takut bini!
Atas sebab itu, suami perlu mempunyai kepimpinan yang tinggi dan perlu berani membuat keputusan yang tepat, walaupun kadangkala menyinggung hati isteri ataupun ibu, jika itulah yang terbaik di sini agama.
Bersama ini saya sertakan dua senario utama dan contoh huraian yang dirasakan sesuai dalam senario berikut (huraian pada kedua senario ini tidak boleh diaplikasikan pada setiap keadaan atau senario yang lain):
Senario Pertama:
Ibu menggesa anak lelaki terus tinggal bersama keluarga dan tidak perlu berpinda rumah sendiri (Kedua ibu bapa masih sihat dan kuat). Si isteri pula berkeras ingin tinggal dan memiliki rumah sendiri. Akhirnya si suami mendengar kata isteri disebabkan si suami faham benar kelemahan isterinya sendiri dan pada masa yang sama faham benar perangai ibunya. Ini kerana suami berpandangan bahawa keadaan akan bakal lebih menjadi huru-hara andai kata mereka tinggal bersama dan mungkin berakhir dengan perceraian.
Maka atas alasan jangka masa panjang si suami membeli rumah sendiri. Dengan keputusan ini, si ibu mungkin kecil hati. Tapi dengan membeli rumah untuk isteri juga merupakan satu kewajipan suami dan juga hak isteri bukan? Lagipun, bila tinggal berjauhan kadangkala lebih mesra. Inilah yang dikatakan, dekat bau tahi, jauh bau wangi!
Walau mungkin pada mulanya berkemungkinan si ibu merajuk, tapi pandai-pandai lah kita pujuk. Lama-kelamaan, Insha Allah keadaan akan menjadi seperti sediakala hendaknya. Keputusan yang jelas matlamatnya dari segi jangka panjang akan membawa kebaikan kepada kedua-dua belah pihak.
Senario Kedua:
Si ibu mengajak anak lelaki menziarahi rumah saudara mara pada Aidilfitri. Contoh, adik beradik atau bapa/ibu saudara. Si isteri tidak mahu ikut atas alasan penat jalan raya kelmarin dulu masih belum reda. Sedangkan si ibu mengajak isterinya untuk ziarah 2-3 rumah yang berdekatan sahaja.
Pastinya ajakan si ibu tidak keterlaluan untuk diikuti. Maka, sebaiknya si suami perlu berkeras dalam hal ini bagi memastikan si isteri ikut kemahuannya dan sama-sama menziarahi saudara mara pihak suami. Pada masa yang sama, si suami kena jugalah ziarah saudara mara isteri pada ketika lain walaupun penat, tidak begitu?
Dalam hal ini, suami berpandangan jika tidak ikut permintaan ibu, beliau akan kecilkan hati ibunya, mentelah lagi menziarahi rumah saudara mara juga secara tidak langsung merapatkan silaturrahim antara keluarga, dan kesannya hubungan si isteri dengan keluarga suami termasuk hubungan dengan ibu mertua juga akan semakin rapat. Bayangkan, jika si suami ikut sangat kepenatan si isteri?
Semoga huraian dan pandangan pada artikel ini mampu memberi jalan keluar dalam krisis antara pasangan rumahtangga dan mertua, pada keluaran akan datang akan dikongsi pula cara-cara menangani perbalahan antara suami isteri dan mertua.
Bagi yang ingin memiliki buku Warna-Warni Kehidupan, sila ke link berikut, https://www.yusriyusoff.com/shop-front
Bagi mengetahui kursus-kursus menarik berkaitan rumahtangga dan kekeluargaan, sila ke link berikut, https://www.yusriyusoff.com/religious-classes
Bagi mendapatkan khidmat kaunseling, sila ke link berikut,
Comments