top of page

Informasi Lengkap Tentang Iddah

Updated: Nov 5, 2020

Silap Faham Tentang Iddah

Permasalan iddah kadangkala merupakan satu dilemma bagi sesetengah Muslimah kita. Bila bercakap tentang iddah pula, ada yang iddah disebabkan perceraian hidup, ada pula iddah ketika sedang hamil atau kerana perceraian mati disebabkan suami meninggal dunia.

Sesetengah isu ini kelihatan seperti remeh sahaja, namun jika kita tidak berhati-hati implikasi yang timbul dari kejahilan dalam perkara seperti ini mampu menimbulkan kesan-kesan lain pula seperti dosa dan pengabaian tanggungjawab.

Melalui ruangan ini, saya akan berkongsi beberapa isu-isu yang bersangkutan dengan permasalah iddah yang pernah dikemukakan kepada saya yang telah saya susun seperti berikut:

Pembahagian Iddah

Masa iddah adalah berbeza-beza menurut senario keadaan semasa jatuh talak oleh pihak suami. Secara ringkasnya kategori masa iddah adalah seperti berikut:

1. Iddah Bagi Wanita Yang Bersih

Bagi wanita yang bersih dan tidak berada dalam keadaan haid, dan diceraikan dengan talak satu atau dua selepas suami sudah bersama dengannya (jimak), maka iddahnya adalah selama tiga kali bersih daripada haid. Ini berdasarkan firman Allah:


"Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (daripada berkahwin) selama tiga kali suci (daripada haid)". (Al-Baqarah: 228)


2. Iddah Bagi Wanita Menopause

Manakala bagi wanita yang sudah menopause (putus haid) pula, masa iddahnya ialah selama tiga bulan sahaja. Firman Allah:


"Dan perempuan-perempuan daripada kalangan kamu yang putus asa daripada kedatangan haid, - jika kamu menaruh syak (terhadap tempoh 'iddah mereka), maka 'iddahnya ialah tiga bulan dan (demikian juga) 'iddah perempuan-perempuan yang tiada haid" (Al-Talaq: 4)


3. Iddah Bagi Wanita Yang Mengandung

Tidak seperti iddah biasa, wanita yang hamil iddahnya hanya tamat selepas selesai bersalin. Ini bermakna mereka tidak boleh bernikah sehinggalah tamat iddahnya. Namun hukum iddah ini hanya terhad kepada wanita yang hamil dengan pernikahan yang sah sahaja.

Bagi wanita yang hamil di luar nikah, hukum ini tidak tertakluk kepada mereka. Maknanya mereka boleh bernikah walaupun dalam keadaan sarat mengandung sekalipun.

Ketika saya menjadi naib kadi di Singapura beberapa tahun yang lalu, pernah juga beberapa kali saya menikahkan wanita yang sudahpun hamil ketika itu. Malah pernah dalam satu majlis selepas saya mengakad nikahkan pasangan, ibu bapa mempelai berjumpa dengan saya bertanyakan sama ada sah tak pernikahan tersebut, memandangkan anak mereka sudahpun mengandung ketika itu.

Saya jelaskan kepada mereka ianya tidak mengapa, jika tidak boleh, pastinya pihak pendaftar awal-awal lagi sudah tidak membenarkannya. Ingatlah dalam senario seperti ini, tidak kiralah berapa ustaz atau ustazah yang memberikan pelbagai hukum. Keputusan yang muktamad hanyalah di tangan kadi besar atau pendaftar pernikahan sahaja.

4. Iddah Kematian Suami

Seperti yang dimaklumi iddah bagi isteri yang kehilangan suami, tempoh iddahnya ialah 4 bulan 10 hari. Firman Allah:


“Orang-orang yang meninggal dunia di antaramu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (ber’iddah) empat bulan sepuluh hari. Kemudian apabila telah habis ‘iddahnya, maka 2 tiada dosa bagimu (para wali) membiarkan mereka berbuat terhadap diri mereka menurut yang patut. Allah mengetahui apa yang kamu perbuat”. (Al-Baqarah: 234)


Dalam jangkamasa ini, isteri tidak dibenarkan keluar rumah kecuali jika ada urusan penting sahaja. Antara urusan penting tersebut ialah untuk keluar bekerja, membeli barangan pasar atau mendapatkan rawatan perubatan dan urusan-urusan penting lain seperti peperiksaan genting dan lain-lain.

Namun andai kata perkara-perkara tadi dapat dibantu atau mempunyai solusi lain, maka menjadi kewajipan si balu untuk tidak keluar rumah. Sebagai contoh, jika mereka bekerja sendiri dan segala urusan kerja boleh dilakukan dari rumah. Atau bagi urusan membeli barangan pasar boleh dibantu oleh anak-anak atau saudara mara yang lain.

Selain tidak boleh keluar rumah, pada masa iddah ini juga dilarang daripada berhias seperti memakai pakaian berwarna-warni yang boleh menarik perhatian, barangan kemas dan berwangi-wangian. Pada masa yang sama, mereka juga dilarang menerima pinangan orang ketika masa iddah.

Pernah saya ditanya, adakah boleh wanita yang kematian suami keluar rumah bagi menghadiri majlis pernikahan anaknya? Maksudnya di sini bertandang ke rumah besan, atau jika majlis yang diadakan di hotel atau dewan serbaguna. Jawapan saya, pasti sahaja tidak boleh. Ia masih lagi dalan batasan larangan dan tidak termasuk dalam perkara dharurat atau penting. Sebagai alternatif, boleh sahaja pasangan bertandang ke rumah ibunya atau dimanfaatkan teknologi canggih hari ini dengan diadakan lintas langsung melalui video konferen dan sebagainya.


Tempat Tinggal Semasa Iddah

Terdapat beberapa kes yang sampai kepada saya di mana pasangan bekas suami dan isteri masih tinggal bersama walaupun setelah selesai iddah. Antara alasan yang diberikan ialah proses penjualan rumah masih belum selesai atau salah seorang pasangan masih belum mempunyai tempat tinggal tetap.

Mungkin kita boleh kata, alah, kita tak buat apa-apalah.” Ianya tetap merupakan satu perkara yang perlu dielakkan. Tidakkah kita diseru Tuhan untuk tidak menghampiri zina? Malah, tidak mustahil terdapat beberapa situasi yang di mana kedua belah bekas suami isteri ini hanya tinggal berdua sahaja. Tidakkah Baginda pernah berpesan dalam situasi seperti ini, ada orang ketiganya, iaitu syaitan.

Pada masa yang sama, mereka juga tidak perlu langsung berpindah rumah sebaik sahaja berpisah. Malah menyediakan tempat tinggal bagi bekas isteri masih menjadi tanggungjawab bekas suami selama tempoh iddah 3 bulan mereka. Ini sesuai dengan firman Allah dalam Surah al-Talak ayat 1 yang bermaksud: Janganlah kamu mengeluarkan mereka dari rumah-rumah kediamannya (sehingga selesai iddahnya), dan janganlah pula mereka keluar, kecuali mereka melakukan perbuatan keji yang nyata.”

Hikmah dari dibenarkan tinggal serumah di sini juga, ia supaya dapat terjalin semula rasa rindu dan peluang bagi kasih sayang bersemi pula andai kata sebenarnya masih wujud perasaan rindu antara keduanya. Namun, keadaan ini hanya dibenarkan apabila terdapat sekurang-kurangnya kanak-kanak yang sudah mumaiyiz, dan bukan hanya pasangan pula perlu mengikut batasan antara lelaki bersama wanita ajnabi.

Nafkah Ketika Masa Iddah

Terdapat silap faham bahawa nafkah sudah terhenti dengan terlerainya ikatan di antara suami dan isteri. Sedangkan sebenarnya, selain tanggungjawab menyediakan tempat tinggal, bekas suami juga tetap perlu meneruskan tanggungjawab memberikan nafkah harian kepada bekas isteri dalam tempoh iddah.

Ini sesuai dengan maksud surah Al-Talaq, ayat 6 yang bemaksud: “Tempatkanlah isteri-isteri yang menjalani iddahnya itu ditempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu.”

Kadar nafkah iddah ini biasanya akan ditetapkan oleh hakim Mahkamah Syariah. Jika di Singapura, biasanya ialah di antara $1.00 hingga $5.00 sehari bergantung kepada kemampuan suami. Tempoh nafkah iddah ini pula biasanya ialah selama 3 bulan bagi keadaan biasa atau sehingga bersalin bagi wanita yang hamil.

Terdapat juga suara-suara dari pihak bekas suami yang kadangkala tidak menyetujui keputusan mahkamah menetapkan jumlah nafkah iddah ini, dan menganggap bahawa pihak bekas isteri tidak sewajarnya menerima kerana alasan nusyuz dan sebagainya.

Namun ingatlah, pada akhirnya menjadi tanggungjawab pihak hakim membuat keputusan muktamad mengikut budi bicara mereka. Usahlah kita mengira sangat, andainya kita tidak setujupun, anggaplah itu sebagai tanda hadiah buat seorang yang pernah kita cintai dan ceriakan kita dulu.

Semoga perkongsian saya kali ini hasil dari pengalaman dalam isu iddah ini mampu memberikan sedikit pencerahan dan informasi berguna tentang apa yang boleh dan tidak boleh dalam masa iddah. Bukan sahaja dari sudut hukum tetapi juga dari contoh semasa sesuai dengan kehidupan kita pada hari ini.



Bagi mendapatkan khidmat kaunseling, sila ke link berikut,


Bagi mengetahui kursus-kursus menarik berkaitan rumahtangga dan kekeluargaan, sila ke link berikut, https://www.yusriyusoff.com/religious-classes


Bagi yang ingin memiliki buku Warna-Warni Kehidupan, sila ke link berikut, https://www.yusriyusoff.com/shop-front


Bagi yang ingin membaca artikel-artikel lain yang menarik berkenaan informasi tentang rumahtangga, sila ke link berikut, https://www.yusriyusoff.com/articles/categories/rumahtangga



Masa Iddah
Butiran Pasir Bagai Menanti Selesainya Iddah



1,521 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page