top of page
Writer's pictureYusri Yusoff

Lima Panduan Ihsan Kepada Ibu Bapa

Updated: Nov 1, 2020

Kali ini saya ingin berkongsi cara-cara kita untuk berlaku ihsan kepada kedua ibu bapa termasuk bagi mereka yang sudah mempunyai keluarga mereka sendiri. Bukan apa, kadangkala kehidupan berkeluarga tanpa disedari menghambat peluang kita untuk berbuat baik pada kedua kedua ibu bapa kita. Sebenarnya keadaan sebelum bernikah dan selepas bernikah memberi kesan pada kualiti dan kuantiti kita dalam berlaku ihsan.


Beza Sebelum Dan Selepas Berkahwin

Jika sebelum bernikah, kita mempunyai peluang untuk berbuat baik pada setiap hari dengan orang tua kita, kerana kita tinggal bersama mereka. Tetapi pada masa yang sama, potensi untuk kita melakukan sesuatu yang menimbulkan kemarahan orang tua juga turut besar. Begitu juga mereka yang sudah berumahtangga, walaupun peluang berlaku ihsan tidak besar seperti dulu kerana sudah berkeluarga, lebih-lebih lagi yang sudah tidak tinggal bersama, namun pada masa yang sama, kekerapan kita dalam menderhakai ibu bapa juga sudah semakin kecil. Jadi kedua-duanya mempunyai kelebihan dan kekurangan dari sudut keihsanan kita pada ibu bapa.


Berlaku ihsan pada ibu bapa ini pula meliputi ketaatan kepada perintah kedua ibu bapa kita, menyantuni dan melayan keduanya dengan baik dan menggembirakan hati mereka. Malah menjaga dan memberi nafkah bagi menampung keperluan hidup mereka juga termasuk dalam erti kata berlaku ihsan kepada kedua ibu bapa.


Saya sendiri pernah berdepan dengan kes-kes adik beradik yang saling tolak menolak dalam menjaga kedua ibu bapa mereka yang sudah tua dan memberi pelbagai alasan, seperti isteri tidak suka, suami tidak memberi izin dan sebagainya. Benarlah kata orang-orang lama, “Ibu dan bapa boleh menjaga 10 orang anak, namun 10 orang anak belum tentu mampu menjaga kedua ibu bapa mereka!”


Ihsan Ibu Bapa Membawa Ke Syurga

Ingatlah, kegagalan berbakti kepada ibu bapa dalam senario ini boleh mengakibatkan kita sukar untuk sampai ke pintu syurga, sebagaimana yang disebutkan hadis daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud:


“Amat malanglah! Amat malanglah! Dan amat malanglah. Maka Rasulullah ditanya: “Siapakah orang yang amat malang itu wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Seseorang yang mendapati kedua ibu bapanya atau salah seorang daripada keduanya telah tua, namun dia masih gagal memasuki syurga (Yakni kerana gagal berkhidmat kepada mereka).” (Riwayat Imam Muslim)


Contoh-Contoh Ihsan Kepada Ibu Bapa

Di kesempatan ini suka saya berkongsi beberapa perkara untuk kita amalkan atau untuk kita bermuhasabah bersama, serta boleh juga kita manfaatkan sebagai pelan bertindak dalam kita berlaku ihsan kepada kedua ibu bapa kita. Amalan yang dengan berkat kita berbuat baik kepada kedua ibu bapa kita, bakal membawa kita ke syurga dengan rahmat Allah. Antara perkara tersebut ialah:


Pertama: Masa berkualiti bersama ibu bapa

Seperti mana kita perlu meluangkan masa berkualiti bersama pasangan dan anak-anak kita, kita juga perlu melakukan perkara yang sama bersama dengan kedua ibu bapa kita. Ziarahilah mereka sekurang-kurangnya seminggu sekali bagi mereka yang tinggal berdekatan dengan kedua ibu bapa. Jika tidak, paling kurang sebulan 2-3 kali bagi yang tinggal sedikit jauh. Kita yang tinggal di Singapura ini masih beruntung kerana sejauh mana pun, masih lagi dekat. Jika saudara-mara kita di Malaysia, hanya ketika cuti panjang sahaja berkesempatan ziarah kerana tinggal berjauhan dari kampung halaman.


Pastinya, dengan menatap kita dan cucu-cucu mereka, kedua ibu bapa akan merasa gembira, dan kegembiraan mereka itu bererti kita telah berlaku ihsan kepada mereka. Malah jika boleh, ketika kita menziarahi mereka, ambillah kesempatan untuk berdua sahaja bersama mereka tanpa kelibat anak-anak atau pasangan kita, pastinya itu lebih bererti dan bermakna di sisi mereka, kerana dapat bermesra dengan anak-anak mereka sendiri, dan bagi kita dapat pula bermesra dengan kedua ibu bapa.


Kedua: Menjaga dan memenuhi keperluan harian ibu bapa 

Menjadi suatu perkara yang terpuji juga untuk kita sebagai anak dalam memastikan kedua ibu bapa kita dalam keadaan terbaik dan sejahtera. Ini dapat dilakukan sama ada dengan menjaga kedua ibu bapa kita sendiri, mahupun dengan menyediakan amah atau pembantu rumah bagi menyelia keadaan kedua ibu bapa kita khususnya jika kedua ibu bapa kita sudah uzur, sementara kita dan pasangan pula bekerja. Bahkan menjadi suatu perkara yang terpuji juga kita memastikan kedua ibu bapa kita menjalani pemeriksaan perubatan tahunan bagi memastikan kesihatan ibu bapa kita dalam keadaan yang terbaik, dan jika tidakpun, kita dapat mengetahui langkah-langkah bagi memperbaiki kesihatan mereka.


Perkara-perkara yang disebutkan ini mungkin nampak sedikit membebankan, tetapi jika setiap anak-anak saling bantu membantu dan berkongsi kos mengikut kemampuan masing-masing pastinya ia menjadi ringan. Bak kata pepatah, “yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing.”


Ketiga: Wang bulanan untuk ibu bapa

Pada kolum saya yang lain, saya pernah berkongsi bahawa bagi praktis perancangan kewangan yang terbaik, kita sekurang-kurangnya perlu memperuntukkan kadar 20% bagi simpanan dari gaji bulanan kita.


Akan tetapi, saya suka menambah untuk lebih keberkatan dalam kehidupan, kita perlu peruntukkan pula sekurang-kurangnya 10% untuk saguhati bulanan buat kedua ibu bapa kita selama mereka masih hidup. Malah, bagi yang kurang tanggungan seperti mereka yang masing bujang atau belum mempunyai cahaya mata, kadar 10% tersebut boleh ditambah lagi. InsyaAllah, apabila ibu bapa gembira, maknanya kita telah berlaku ihsan pada diri mereka. Mereka doakan kita, rezeki kita semakin bertambah dan tidak berkurangan. Dan yang paling penting kita beroleh keberkatan darinya.


Dengan itu, kita perlu bermuhabah dan melakukan refleksi diri. Andai kata kita mempunyai pendapatan yang stabil serta mampu pula mempunyai kenderaan sebagai contoh, tetapi gagal untuk memberikan sedikit wang saku bulanan untuk kedua ibu bapa kita. Saya kira kita telah gagal dalam menyusun prioriti dalam kehidupan kita, dan sewajarnya kita perlu merenung kembali keutamaan dalam menyusun perbelanjaan kewangan kita.


Keempat: Hadiah untuk ibu bapa

Menjadi amalan sesetengah pihak yang memberikan hadiah kepada kedua ibu bapa mereka sempena hari kelahiran atau hari ibu atau hari bapa. Tiadalah salahnya amalan ini, kerana setiap yang kita lakukan bagi menggembirakan kedua ibu bapa merupakan satu amalan yang terpuji dan seharusnya digalakkan. Cuma bagi saya, ia sepatutnya diluaskan juga pada hari-hari lain dan tidak semestinya kita perlu menunggu hari-hari yang istimewa baru kita ingin menghadiahkan sesuatu untuk kedua ibu bapa kita.


Sebagai contoh, jika kita dapati cermin mata ibu atau ayah kita sudah lusuh dan perlu digantikan dengan yang baru, mengapa tidak kita membelikan kacamata yang baru dan mengambil kesempatan tersebut untuk turut sama menemani kedua ibu bapa kita dan menghabiskan masa berkualiti bersama mereka.


Tidakkah itu pasti sangat menggembirakan mereka?


Kelima: Doa untuk ibu bapa

Sebagai perkongsian terakhir, ingatan buat diri saya dan juga para pembaca untuk sama-sama kita sentiasa mendoakan kedua ibu bapa kita sama ada yang masih hidup mahupun yang telah meninggalkan kita. Ingatlah bagi mereka yang tidak mempunyai ibu atau bapa atau kedua-duanya sekali, walau jasad mereka sudah lama bersemadi, namun doa kita akan tetap dihargai oleh kedua ibu bapa kita itu, kerana ia mampu menjadi bekalan selama-lamanya buat mereka di sana.


Renung-renungkanlah sabda Rasulullah s.a.w.: “Apabila mati anak Adam, putuslah semua amalannya kecuali tiga perkara:  Sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan atau anak soleh yang mendoakannya.” [Bukhari]


Sebagai tambahan bagi menambahkan ganjaran kedua ibu bapa, selain dari doa, segala suruhan baik yang kita amalkan hasil dari didikan kedua ibu bapa juga berperanan menambahkan ganjaran ‘ilmu yang dimanfaatkan’ seperti yang disabdakan Rasulullah s.a.w.:

“Barangsiapa yang menunjukkan kepada kebaikan, maka baginya pahala seperti pahala orang yang melakukannya.” (Muslim)


Juga anak-anak juga boleh membaca doa-doa berikut*:


رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ


Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan.” (Ibrahim: 41)


رَّبِّ اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِمَن دَخَلَ بَيْتِيَ مُؤْمِنًا وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ وَلَا تَزِدِ الظَّالِمِينَ إِلَّا تَبَارًا


Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Ampunkanlah bagiku dan bagi kedua ibu bapaku, serta bagi sesiapa yang masuk ke rumahku dalam keadaan beriman dan (ampunkanlah) bagi sekalian orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan (pada setiap zaman) dan janganlah Engkau tambahi orang-orang yang zalim melainkan kebinasaan.” (Nuh:28)


اَللَّهُمَّ اغْفِرْلِيْ ذُنُوْبِيْ وَلِوَالِدِيَّ وَارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِيْ صِغِيْرًا


Maksudnya: “Ya Allah! ampunilah dosaku dan dosa kedua orang tuaku dan kasihilah mereka sebagaimana mereka mengasihiku sejak kecil.”


Maka perbanyakkanlah doa dan amal kebajikan, sebagai bukti cinta dan kasih sayang kita terhadap kedua ibu bapa kita yang masih hidup mahupun yang sudah tiada lagi bersama kita. Semoga keihsanan kita pada mereka, menjadikan hidup kita lebih diberkati di dunia mahupun di akhirat.



Bagi yang ingin memiliki buku Warna-Warni Kehidupan, sila ke link berikut, https://www.yusriyusoff.com/shop-front


Bagi mengetahui kursus-kursus menarik berkaitan rumahtangga dan kekeluargaan, sila ke link berikut, https://www.yusriyusoff.com/religious-classes


Bagi mendapatkan khidmat kaunseling, sila ke link berikut,



Doa untuk ibu bapa
Ihsan Ibu Bapa

*Bagi doa-doa dirujuk daripada lelaman: https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-al-hadith/3683-irsyad-al-hadith-siri-ke-416-lafaz-doa-kedua-ibubapa

1,141 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page