top of page

Buku Panduan Seindah Solat Nabi

Updated: Oct 30, 2020


Seindah Solat Nabi
Alangkah indahnya jika solat kita seindah solat Nabi

Pengenalan


“Dan solatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku bersolat.”  [Sahih Bukhari]


“Sahaja aku sembahyang…” Begitulah lafaz yang biasanya sering dibaca tatkala seseorang itu ingin memulakan solatnya. Ia merupakan lafaz yang sangat signifikan yang merujuk kepada permulaan amalan solat kebanyakan masyarakat Islam di nusantara ini yang rata-rata bermazhab Shafii.


Namun, adakah kita maklum perbincangan tentang lafaz niat ini di sisi ulama terutamanya dari kalangan mereka yang bermazhab Shafii? Bagaimana pula jika ada yang mendakwa apa yang kita amalkan selama ini merupakan satu perkara yang tiada asalnya dalam sunnah? Apakah respon kita? Inilah antara banyak perkara yang bakal dibincangkan dalam buku ini.


Idea Menulis Buku Ini

Idea menulis buku ‘Seindah Solat’ ini sebenarnya terhasil selepas menamatkan pengajian sarjana saya dalam bidang Usuluddin (Hadis) di Universiti Malaya dalam bentuk disertasi penuh dengan kajian bertajuk ‘Kefahaman dan Amalan Solat Berdasarkan Sunnah Rasulullah s.a.w.: Satu Kajian Di Kalangan Masyarakat Islam Singapura’. Bertitik tolak dari kajian saya ini yang menyentuh tentang kefahaman dan amalan solat masyarakat Islam Singapura, serta sejauh mana ianya bertepatan dengan anjuran Sunnah Rasulullah atau tidak, timbul hasrat untuk membukukan kajian saya ini bagi tatapan umum dalam bentuk penulisan yang tidak terlalu akademik bagi kesesuaian bacaan semua pihak.


Lantas lahirlah buku ini yang disusun dengan gaya bahasa yang santai seolah bercerita, sekali sekala disertakan dengan anekdotal hasil dari pengamatan dan coretan pengalaman penulis selama 10 tahun bertugas di masjid serta ketika berinteraksi dengan individu dan masyarakat Islam yang lain sebagai seorang imam dan pendakwah. Walaupun begitu, penulis berusaha memastikan setiap hujjah, pendapat dan dalil dipenuhi dengan sumber rujukan ilmiah melalui nota kaki yang disediakan buat manfaat para pembaca. Bahkan, setiap hadis yang digunakan penulis disertakan dengan status darjat hadis tersebut sama ada ianya berdarjat sahih, hasan atau dhaif kecuali bagi hadis-hadis Sahih Bukhari dan Muslim yang diiktiraf ulama Hadis sebagai kesemuanya adalah sahih dan lantas tidak disertakan darjatnya.


Tujuan Buku Ini Ditulis

Antara tujuan utama buku ini ditulis adalah untuk memberi nilai tambah kepada solat para pembaca sekalian melalui:


1. Perkongsian ibadah solat

Bagi berkongsi ibadah solat yang sempurna merangkumi kefahaman sebenar tentang solat berdasarkan Sunnah Rasulullah, amalan sifat solat Nabi s.a.w. serta bacaan doa-doa yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam solat Baginda.


Amalan Bacaan Nabi

Ini kerana menurut dari kajian sarjana penulis, didapati kebanyakan responden yang diselidiki, dan diyakini penulis bahawa tren yang sama juga kemungkinannya turut sama dikongsi bagi umat Islam di rantau nusantara ini; ialah kebanyakan dari kita mempunyai gaya solat yang sehala dan terikat dengan satu bacaan sahaja dalam amalan solat kita, seperti bacaan Subhana Rabbiyal ‘Azim Wa Bi Hamdihi’ bagi ruku’ dan Subhana Rabbiyal A’laa Wa Bi Hamdihi’ bagi sujud, sedangkan banyak lagi doa-doa yang diajarkan oleh Baginda Rasulullah s.a.w. yang sesuai dibaca dalam solat kita, yang kesemuanya penuh dengan makna-makna yang sangat indah mengajak kita bermunajat kepada Allah.


Panduan Bagi Mazhab Shafii

Setiap pendapat pula akan dikongsi bersama pandangan dari Mazhab Shafii sebagai faedah masyarakat Islam nusantara ini yang rata-ratanya bermazhab Shafii. Antara kitab-kitab muktabar rujukan utama Mazhab Shafii yang digunakan penulis ialah Al-Umm karangan Imam Al-Shafii, Al-Majmu’, Raudhah Al-Talibin kedua-duanya karangan Imam Nawawi dan Mughni Al-Muhtaaj karangan Imam Al-Khatib Al-Sharbini di samping kitab-kitab Fiqh yang lain.


Salah Faham Tentang Mazhab

Ini antaranya bertujuan agar kita maklum dengan sumber yang menjadi ikutan amalan solat yang dilakukan, ia secara tidak langsung dapat menjawab anggapan sebahagian pihak yang menyatakan amalan bermazhab hanyalah mengikut pendapat ulama mazhab tersebut dan bukan berasal dari sunnah Rasulullah.


2. Informasi Tentang Solat

Buku ini juga akan berkongsi amalan dan bacaan solat yang diamalkan oleh Nabi s.a.w. yang turut bersumber dari riwayat yang sahih, cuma mungkin berbeza dari apa yang biasa kita amalkan.


Lebih Faham Punca Perbezaan Gaya Solat

Dengan ini diharapkan selepas itu, kita akan dapat memahami mengapa terdapat perbezaan gaya solat di antara masyarakat Islam, dan mengapa ulama berselisih pendapat dalam sesetengah amalan solat. Seterusnya melalui buku ini juga diharapkan dapat mendidik masyarakat Islam kita bahawa perbezaan amalan solat adalah lumrah, kerana perbezaan ini bukan sahaja wujud pada zaman kita ini, tapi ia juga telah berlaku pada zaman Rasulullah di kalangan para sahabat r.a. dan selepasnya.


Sikap Menghormati Perbezaan

Dengan kita lebih maklum akan sumber asal sesuatu amalan yang dilakukan dalam solat, baik yang biasa dilakukan oleh kita mahupun umat Islam yang lain, diharapkan ia akan mewujudkan sikap menghormati dan meraikan setiap perbezaan pendapat yang ada dan tidak mudah menyalahkan amalan solat orang lain, andai kata didapati cara solat seorang Muslim atau Muslimah adalah berbeza dengan cara solat yang biasa kita amalkan.


Sumber Hujjah Solat Yang Dilakukan

Dengan ini seseorang itu akan jelas, bahawa terdapat sesetengah amalan solat yang dilakukan contohnya, bukanlah satu-satunya sunnah dari Nabi s.a.w., tapi terdapat lagi amalan sunnah Nabi yang lain, ini di samping perbezaan pendapat para Fuqaha’ terhadap hadis-hadis Nabi s.a.w. berkaitan amalan solat yang masing-masing punyai hujjah dan interpretasi tersendiri yang tidak lari dari tradisi keilmuan Islam kita.


3. Motivasi Bagi Solat Lebih Sempurna

Dapat lebih bermotivasi untuk mendirikan solat dengan lebih sempurna, serta mengamalkan doa-doa warid yang bersumber dari Rasulullah s.a.w. sebagai tambahan dari zikir-zikir dan doa yang biasa kita amalkan, selain menjadi pendorong untuk melaksanakan solat-solat sunnah lain yang turut sama dikongsi di sini, lebih-lebih lagi selepas dimaklumi fadhilat dan ganjaran sesuatu solat seperti yang dijanjikan oleh Nabi s.a.w.


4. Kes Studi & Solusinya

Sebagai memberi nilai tambah pada buku ini juga, penulis menyertakan bab khas yang mengumpulkan beberapa kes studi di penghujung buku ini seperti isu solat ketika dalam kenderaan bagi mereka yang bermusafir, solat dalam keadaan sakit dan tidak sempurna, solat bagi orang yang sentiasa dalam keadaan berhadas, atau solat bagi mereka yang mempunyai masalah was-was dalam solat dan sebagainya. Di mana pada setiap kes studi ini diberikan huraian dan solusi bagaimana mendirikan solat ketika berdepan dengan kesulitan-kesulitan yang disebutkan tadi.


Akhir kata, penulis ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Telaga Biru Sdn.Bhd. kerana sudi memberi kepercayaan dan peluang kepada penulis untuk berkarya dengan penerbitan buku ini. Semoga Allah membalas jasa kalian.


Tidak dilupakan juga buat isteri tercinta, Arafah yang bukan sahaja sentiasa memberikan sokongan dan dorongan kepada penulis sehingga selesainya karya ini, tetapi juga atas pesanan dan ingatan agar penulis tidak sekadar menulis, tetapi juga perlu menjadi contoh dan mempraktiskan apa yang ditulis. Begitu juga dengan putera-puteri abah; Madihah, Ahmad Yasir dan Ahmad Aysar yang mana ketawa riang mereka sahaja sudah cukup memberikan perangsang kepada penulis, semoga karya ini mampu menjadi warisan dan pendorong agar anak-anak abah nanti berjaya dalam  kehidupan di dunia dan di akhirat kelak.


Semoga buku ini berjaya mencapai apa yang dihasratkan penulis selain mampu memberikan nilai tambah kepada amalan solat para pembaca, selain diharapkan karya ini juga mampu menjadi saham amal jariah buat penulis juga pada hari akhirat nanti. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.


Mohammad Yusri Yubhi Md Yusoff,

Singapura, 7 Julai 2015


Bagi yang ingin memiliki buku Seindah Solat Nabi, sila ke link berikut, https://www.yusriyusoff.com/shop-front


Bagi mengetahui kursus-kursus menarik berkaitan solat, sila ke link berikut, https://www.yusriyusoff.com/religious-classes

1,444 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page