top of page
Writer's pictureYusri Yusoff

Panduan Lengkap Solat Sunat Dhuha

Updated: Jan 2, 2021

Solat Dhuha merupakan satu ibadah yang mempunyai fadhilat dan ganjaran yang sangat besar. Namun, tahukah kita waktu sebenar bermula solat Dhuha atau bilakah waktu berakhirnya solat Dhuha? Seringkali informasi yang disebar luaskan dijangkakan betul, tapi sebenarnya tidak tepat sama sekali. Melalui artikel ini, saya akan kongsikan beberapa informasi tentang solat Dhuha; bermula dari mula disyariatkan solat Dhuha, waktu mula dan berakhirnya, ganjarannya, jumlah rakaatnya serta bezanya dengan solat Isyraq.


Pensyariatan Solat Dhuha

Setiap solat yang ingin kita lakukan, perlulah mempunyai sandarannya. Tidak bolehlah suka-suka kita mendirikan sesuatu ibadah yang tiada asalnya. Untuk selamat, pilihlah ibadah-ibadah yang dianjurkan Nabi, mengapa ingin lakukan ibadah lain yang tiada sandarannya, sedangkan banyak lagi solat yang Nabi sendiri buat, tapi tidak kita laksanakan?


Dalil pensyariatan solat Dhuha ini sebenarnya banyak, antaranya wasiat atau nasihat khas Baginda s.a.w. buat Abu Hurairah r.a. Memang menjadi lumrah Nabi, suka berkongsi nasihat-nasihat dan pesanan buat teman-teman tercinta, yang sebenarnya juga untuk panduan kita di sini juga. Pesanan ini dikongsikan sendiri oleh Abu Hurairah r.a.

Dari Abu Hurairah r.a.: “Kekasihku s.a.w. telah mewasiatkan kepadaku tiga perkara, berpuasa tiga hari setiap bulan, solat Dhuha dan tidur setelah melakukan solat witir.” [Bukhari]


Lihatlah betapa kasihnya Abu Hurairah terhadap Nabi, sehingga beliau sebut Nabi s.a.w. kekasihnya! Pada masa yang sama, memang menjadi tradisi Nabi, memberikan nasihat yang 'customise' atau 'personal' dari satu sahabat ke satu sahabat. Nabi tidak pukul rata semua sahabatnya sama ya. Dengan ini, ketiga-tiga amalan ini juga menjadi satu sunnah yang baik untuk kita semua amalkan. Di lain kesempatan, saya akan kongsi berkenaan solat witir pula.


Waktu Solat Dhuha

Sebenarnya waktu solat Dhuha ini berlaku sewaktu matahari mulai naik sepenggalah. Bila kita ada di persisiran pantai atau di tempat yang tinggi di mana horizon adalah luas. Pastinya kita boleh nampak waktu matahari mula terbit. Ringkasnya, bila matahari naik tinggi sedikit seperti panjangnya galah daripada jauh, maka mulalah masuk waktu Dhuha.


Untuk lebih mudah, mulanya waktu solat Dhuha ialah lebih kurang setengah jam selepas berakhirnya waktu Subuh (disebut syuruq). Maknanya jika waktu syuruq (boleh didapati dari jadual waktu solat harian) ialah 7.00 pagi, maka masuk waktu solat Dhuha ialah 7.30 pagi. Ini merupakan informasi yang sahih dan legit, kerana saya pelajarinya dari beberapa pakar falak di Malaysia semasa berkursus di Institusi Latihan Islam Malaysia, Jakim di Bangi, Selangor selama dua minggu bagi Program Ilmu Falak MABIMS yang dihadiri pegawai-pegawai agama negara-negara Asean. Di mana ketika itu, saya masih bertugas di Pejabat Mufti, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).


Berakhirnya waktu solat Dhuha pula ialah sehingga sebelum matahari mulai condong atau tergelincir. Yakni lebih kurang sekitar 5 minit sebelum masuk waktu solat Zohor.


Namun saya dapati terdapat banyak lelaman-lelaman internet yang memberikan informasi yang kurang tepat tentang masuk waktunya solat Dhuha. Rata-rata yang saya dapati menyebut masuk waktu Dhuha ialah lebih kurang 12 minit selepas waktu Syuruq. Ini tidak berapa tepat. Dengan itu, jika terlihat ada jemaah-jemaah masjid yang solat lebih awal dari waktunya, tegurlah. Ini kerana jangkamasa 30 minit antara waktu Syuruq dan Dhuha merupakan waktu larangan untuk kita bersolat. Jika dilakukan, ia hanyalah sia-sia sahaja.


Ganjaran Solat Dhuha

Terdapat banyak sekali ganjaran dan kelebihan solat Dhuha yang disebutkan dalam riwayat hadis-hadis yang sahih mengenainya. Antaranya hadis-hadis berikut:


“Bagi masing-masing ruas daripada anggota tubuh salah seorang antara kalian harus dikeluarkan sedekah, setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil adalah sedekah, setiap takbir adalah sedekah, menyuruh untuk berbuat baik juga adalah sedekah, dan mencegah kemungkaran juga adalah sedekah, dua rakaat sembahyang duha yang dilakukannya mencukupi untuk itu. ” [Muslim]


Ini bermakna, dengan kita mendirikan dua rakaat solat Dhuha, kita bakal meraih pahala membaca tahmid (alhamdulillah), tahlil (la ilaha illallah), takbir (Allahu Akbar serta pahala menyuruh perkara kebaikan dan mencegah kemunkaran!


“Wahai anak Adam, janganlah engkau sampai tertinggal untuk mengerjakan solat empat rakaat pada permulaan siang (waktu Dhuha), nescaya Aku akan memberi kecukupan kepadamu sampai akhir siang.” [Abu Daud]


Pernahkan kita dengar ada yang kata, solat Dhuha lah nanti murah rezeki! Memang benarlah, kerana itu juga merupakan ajaran Nabi. Cuma untuk mendapatkan fadhilat ini, perlu solat empat rakaat Dhuha ya!


“Sesiapa mengerjakan solat Subuh secara berjemaah lalu sesudah itu dia tetap duduk (di masjid) untuk berzikir kepada Allah sehingga matahari terbit (dan meninggi), kemudian solat (Dhuha) dua rakaat maka dia akan mendapat pahala sebagaimana pahala haji dan umrah. Dia berkata (Anas), Rasulullah bersabda, ‘Yang sempurna, yang sempurna, yang sempurna.’” [Tirmidzi]


Bagi meraih ganjaran ini, seseorang itu perlu bersolat jemaah Subuh dan disebutkan sebahagian Ulama ialah merujuk kepada solat Subuh berjemaah di masjid. Kemudian meneruskannya dengan amalan zikir dan pujian kepada Allah. Setelah masuk waktu Dhuha, dirikanlah sekurang-kurangnya dua rakaat solat Dhuha. Insha Allah, kita bakal perolehi pahala seperti ibadah haji dan umrah!


Sifat dan Jumlah Rakaat Solat Dhuha

Bagaimana pula dengan jumlah rakaat solat Dhuha? Adakah ia hanya terbatas pada dua rakaat sahaja? Berdasarkan hadis-hadis yang disebutkan sebelum ini ketika perbahasan ganjaran solat Dhuha, disebutkan juga ada yang sehingga sampai empat rakaat.


Bagi ingin tahu berapakah jumlah rakaatnya, maka perlulah kita telusuri hadis-hadis sahih Nabi s.a.w. yang disebutkan di bawah ini.


Daripada ‘Aishah r.a. berkata, “Bahawa Rasulullah s.a.w. telah menunaikan solat Dhuha sebanyak empat rakaat dan menambah bilangan rakaatnya sampai jumlah yang Baginda kehehendaki.” [Muslim]


Daripada Umm Hani’ binti Abi Talib “Bahawasanya Nabi s.a.w. pada hari pembukaan Kota Mekah bersembahyang Dhuha sebanyak lapan rakaat dengan mengucapkan salam pada setiap dua rakaat.” [Abu Daud]


Berdasarkan hadis-hadis yang disebutkan ini, jelas bahawa Baginda Rasulullah melakukan solat Dhuha antara dua rakaat hingga sebanyak- banyaknya lapan rakaat. Manakala setiap dua rakaat itu pula dipisahkan dengan ucapan salam, seperti mana kita dirikan solat Terawih.


Doa Khas Solat Dhuha

Bagi doa-doa khas, tidak didapati doa khusus yang diajarkan oleh Nabi s.a.w. untuk diamalkan ketika atau selepas solat Dhuha. Doa-doa yang biasa kita lihat dikongsi sebagai doa-doa khas solat Dhuha sebenarnya merupakan doa-doa yang diajarkan oleh para Ulama. Namun tiada masalah untuk dibaca. Antara doa tersebut ialah:


اَللَّهُمَّ إِنَّ الضَّحَاءَ ضَحَاءُكَ، وَالْبَهَاءَ بَهَاءُكَ، وَالْجَمَالَ جَمَالُكَ، وَالْقُوَّةَ قُوَّتُكَ، وَالْقُدْرَةَ قُدْرَتُكَ، وَالْعِصْمَةَ عِصْمَتُكَ، اَللَّهُمَّ إِنْ كَانَ رِزْقِيْ فِي السَّمَاءِ فَأَنْزِلْهُ، وَإِنْ كَانَ فِيْ الأَرْضِ فَأَخْرِجْهُ، وَإِنْ كَانَ مُعَسِّرًا فَيَسِّرْهُ، وَإِنْ كَانَ حَرَامًا فَطَهِّرْهُ، وَإِنْ كَانَ بَعِيْداً فَقَرِّبْهُ، بِحَقِّ ضُحُائِكَ وَبَهَائِكَ وَجَمَالِكَ وَقُوَّتِكَ وَقُدْرَتِكَ آتِنِي مَا آتَيْتُ عِبَادِكَ الصَّالِحِيْنَ. وَصَلَّى اللهُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَآلِهِ وَصَحْبِهِ اَجْمَعِيْنَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ.


Ertinya: “Ya Allah, sesungguhnya waktu Dhuha itu ialah waktu Dhuha-Mu, kecerahan itu ialah kecerahan-Mu, keindahan itu ialah keindahan-Mu, kekuatan itu ialah kekuatan-Mu, kekuasaan itu ialah kekuasaan-Mu dan perlindungan itu ialah perlindungan-Mu. Ya Allah, jika rezekiku ada di langit maka turunkanlah, jika ada di dalam perut bumi maka keluarkanlah, jika ia sukar maka permudahkanlah, jika ia haram maka sucikanlah, jika ia jauh maka dekatkanlah. Berkat waktu Dhuha-Mu, kecerahan-Mu, keindahan-Mu, kekuatan-Mu dan kekuasaan-Mu, berikanlah kepada kami segala apa (kebaikan) yang telah Engkau berikan kepada hamba-hamba-Mu yang soleh. Rahmat Allah ke atas junjungan kita Nabi Muhammad, keluarga dan sahabatnya sekalian. Dan segala puji bagi Allah Tuhan seru sekalian alam.


Selain itu, terdapat juga doa-doa lain yang menjadi amalan Nabi untuk dibaca sewaktu pagi, yang boleh juga kita amalkan semasa atau sudah solat Dhuha. Doa-doa tersebut ialah:



اَللَّهُمَّ بِكَ أَصْبَحْنَا وَبِكَ أَمْسَيْنَا، وَبِكَ نَحْيَا، وَبِكَ نَمُوْتُ، وَإِلَيْكَ النُّشُوْرُ


Allāhumma bika ashbahnā, wa bika amsainā, wa bika nahyā, wa bika namūtu, wa ilaikan nusyūru.


Ertinya: "Ya Allah, dengan-Mu aku berpagi hari, dengan-Mu aku berpetang hari, dengan-Mu kami hidup, dengan-Mu kami mati. Hanya kepada-Mu (kami) kembali," (Abu Daud)



اللَّهمَّ إنِّي أسأَلُكَ عِلمًا نافعًا، ورِزْقًا طيِّبًا، وعمَلًا مُتقَبَّلًا


Allahumma inni as-aluka 'ilman naafi'an wa rizqan thayyiban wa 'amalan mutaqobbalan


Ertinya: "Ya Allah, sungguh aku mohon kepada Engkau ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik, dan amal yang diterima." (Ibnu Majah).



أَصْبَحْنَا وَأَصْبَحَ الملْكُ للهِ، وَالحَمْدُ للهِ، لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيْكَ لَهُ لَهُ الملْكُ وَلَهُ الحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ، رَبِّ أَسْأَلُكَ خَيْرَ مَا فِي هَذِهِ اللَّيْلَةِ وَخَيْرَ مَا بَعْدَهَا وَأَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا فِي هَذِهِ اللَيْلَةِ وَشَرِّ مَا بَعْدَهَا، رَبِّ أَعُوذُ بِكَ مِنَ الكَسْلِ وَسُوْءِ الكِبَرِ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابٍ فِي النَّارِ وَعَذَابٍ فِي القَبْرِ


Ashbahnā wa ashbahal mulku lillāhi wal hamdu lillāhi, lā ilāha illallāhu wahdahū lā syarīka lah, lahul mulku wa lahul hamdu wa huwa ‘alā kulli syai‘in qadīr. Rabbi, as’aluka khaira mā fī hādzihil lailata wa khaira mā ba‘dahā, wa a‘ūdzu bika min syarri mā fī hādzihil lailata wa khaira mā ba‘dahā. Rabbi, a‘ūdzu bika minal kasli wa sū’il kibari. A‘ūdzu bika min ‘adzābin fin nāri wa ‘adzābin dil qabri.


Ertinya: “Kami dan kuasa Allah berpagi hari. Segala puji bagi Allah. Tiada tuhan selain Allah yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya. Bagi-Nya segala kuasa dan puji. Dia kuasa atas segala sesuatu. Tuhanku, aku memohon kepada-Mu kebaikan malam ini dan malam sesudahnya. Aku memohon perlindungan-Mu kejahatan malam ini dan malam sesudahnya. Tuhanku, aku memohon perlindungan-Mu dari kemalasan dan kedaifan masa tua. Aku memohon perlindungan-Mu dari siksa neraka dan siksa kubur,” (Lihat Imam An-Nawawi, Al-Adzkar)


Beza Solat Sunat Isyraq dan Solat Sunat Dhuha

Apakah bezanya solat sunat Isyraq dan solat sunat Dhuha? Beginilah soalan yang sering saya terima ketika saya membuat ceramah atau bengkel perkongsian buku saya, Seindah Solat Nabi di beberapa masjid di Singapura. Sebenarnya, dalam buku saya hanya menyentuh tentang solat solat sunat Dhuha sahaja. Namun kerana sering kali menerima soalan yang sama ini, saya terpaksa membuka kitab-kitab bagi mengkaji kaitan antara kedua solat ini.


Beginilah respon saya; solat Isyraq sebenarnya adalah awal waktu solat Dhuha. Maknanya, ia sebahagian dari waktu Dhuha. Awal waktu Dhuha itulah namanya; Isyraq. Ulama menyebut waktu Isyraq ialah ketika matahari naik sepenggalah, yang merupakan waktu mula solat Dhuha seperti yang disebutkan sebelum ini.


Kesilapan pada beberapa lelaman website yang saya sebutkan tadi kebanyakannya berkaitan dengan solat Isyraq. Ada yang menyebutkan bahawa waktu solat sunat Isyraq ini adalah sebelum waktu solat Dhuha. Lepas solat Isyraq barulah masuk waktu Dhuha. Sedangkan masuk waktu Isyraq itulah awal waktu Dhuha atau bermulanya waktu Dhuha!


Maka ganjaran solat Isyraq dan Dhuha adalah sama seperti yang dijanjikan pada hadis di bawah ini yang saya sudah sebutkan sebelum ini.


“Sesiapa mengerjakan solat subuh secara berjemaah lalu sesudah itu dia tetap duduk (di masjid) untuk berzikir kepada Allah sehingga matahari terbit (dan meninggi), kemudian solat (Dhuha) dua rakaat maka dia akan mendapat pahala sebagaimana pahala haji dan umrah. Dia berkata (Anas), Rasulullah bersabda, ‘Yang sempurna, yang sempurna, yang sempurna.’” [Tirmidzi]


Wallahu A'lam.


Bagi mengetahui kursus-kursus menarik terkini berkaitan solat dan juga kursus-kursus lain, sila ke link berikut, https://www.yusriyusoff.com/religious-classes


Bagi mengetahui lebih lanjut mengenai buku Seindah Solat Nabi, sila ke link berikut, https://www.yusriyusoff.com/post/seindah-solat-nabi


Bagi yang ingin memiliki buku Seindah Solat Nabi, sila ke link berikut, https://www.yusriyusoff.com/shop-front






Recent Posts

See All

1 Comment


Assalamualaikum yang berbahagia ustaz kalau waktu Dhuha adalah waktu awal Syuruk, apakah maksud ayat ini,

"30 minit antara waktu Syuruq dan Dhuha merupakan waktu larangan untuk kita bersolat. Jika dilakukan, ia hanyalah sia-sia sahaja."


Bilakah waktu larangan ini..?

Like
bottom of page