top of page

Peranan Muslim Dalam Memelihara Kelestarian Alam Serta Perubahan Iklim


Global warming

Mungkin dewasa ini apabila kita melungsuri berita di media aliran perdana atau melalui media sosial, jika kita peka, pastinya kita akan terbaca mengenai berita kesan perubahan iklim global, suhu bumi semakin panas, serta kesannya terhadap penduduk dunia dan ancamannya terhadap ekosistem di daratan mahupun marin.


Negara kita, Singapura contohnya, tidak terlepas dari kesan perubahan iklim. Menurut dapatan Sekretariat Perubahan Iklim Kebangsaan (NCCS, purata suhu tahunan iklim Singapura telah meningkat dari 26.9°C kepada 28.0°C dalam masa 40 tahun. Paras laut di selat Singapura juga telah meningkat daripada 1.2mm kepada 1.7 dalam jangkamasa tahun 1975 hingga 2009. Malah kadar hujan yang turun juga meningkat kepada kadar purata 67mm setiap dekad dari tahun 1980 hingga 2019.


Apakah impak dari kesan kesemua perubahan iklim ini kepada Singapura? Sebagai sebuah negara pulau, kenaikan paras laut merupakan ancaman terbesar Singapura kerana kedudukannya yang berada pada kadar agak rendah. Manakala perubahan cuasa yang ketara bakal memberikan kesan besar kepada Singapura dari sudut banjir kilat apabila berlaku hujan lebat, begitu juga cabaran besar terhadap pengurusan sumber air jika berlaku kemarau.


Malah ketika artikel ini ditulis, sedang berlangsung Konferen Perubahan Iklim Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) yang ke-28, yang juga dikenali sebagai COP28 di Dubai, Amiriah Arab Bersatu (UAE) pada 30 November hingga 12 Disember 2023. Konferen ini merupakan wadah bagi pemerintah, penggubal dasar, pertubuhan antarabangsa dan juga para aktivis alam sekitar untuk bersama-sama membincangkan huraian bagi isu perubahan iklim yang semakin meruncing kehidupan manusia di dunia.


United Nation

Tanggungjawab Muslim Dalam Menjaga Kelestarian Alam

Dengan semakin rapuhnya alam sekitar sekarang, umat Islam sewajarnya mula sedar bahawa mereka juga sebenarnya mempunyai peranan yang besar dalam penjagaan kelestarian alam. Umat Islam perlu mempertingkatkan langkah penjagaan alam sekitar ini sama seperti penduduk dunia yang lain. Untuk ke arah itu, umat Islam perlu faham bahawa menjaga alam sekitar sebenarnya merupakan tanggungjawab kita selaku khalifah di muka bumi ini. Dalam hal ini, umat Islam seharusnya mengubah persepsi mereka terhadap tanggungjawab penjagaan alam sekitar ini juga sebagai satu bentuk takwa dan tanda keimanan kita terhadap Allah.


Mengapa saya memperkatakan sedemikian? Ini kerana sesetengah kita menganggap bahawa penjagaan alam sekitar bukanlah hal ‘agama’. Bagi saya, sudah sewajarnya kita mengubah tanggapan bahawa penjagaan alam sekitar merupakan sesuatu yang bukan ‘agama’ atau sesuatu yang tiada kena mengena dengan iman dan takwa. Sebaliknya, ia suatu perkara yang ‘sangat-sangat’ sebahagian dari agama dan antara kesedaran penting yang mampu meningkatkan keimanan kita sebagai seorang Muslim. Malah sebagaimana perbuatan baik lain, menjaga alam sekitar juga merupakan suatu kebajikan dan bakal mendapat pembalasan yang setimpal pada hari akhirat.


Tanggungjawab Manusia Terhadap Alam Sekitar

Sebagai khalifah Allah dan penghuni bumi, manusia mempunyai tanggungjawab yang besar dalam memastikan alam sekitar terpelihara. Sebagai khalifah, menjadi peranan kita bukan sahaja menerima segala manfaat alam, tapi juga menyumbang kepada kesejahteraannya dan memeliharanya dengan penuh cermat. Ia merupakan satu amanah kepada kita sebagai umat pilihan untuk memimpin muka bumi ini.


Dalam era moden ini contohnya, kita sangat bergantung kepada penggunaan tenaga elektrik di mana-mana, baik di rumah, sekolah mahupun di tempat kerja. Namun tahukah kita, dengan bersikap jimat cermat dalam penggunaan tenaga elektrik dapat mengurangkan penghasilan gas Karbon Dioksida (CO2) yang merupakan sebahagian daripada gas rumah hijau atau greenhouse gases (GHGs). Ini kerana dengan lebih banyak tenaga elektrik digunakan, lebih banyak pembebasan karbon berlaku. Dengan itu, semakin kurang tenaga elektrik yang digunakan semakin kuranglah CO2 dibebaskan. Ini sangat signifikan, kerana pertambahan kadar pelepasan CO2 merupakan antara punca kemusnahan kepada alam sekitar utama yakni dari sudut perubahan iklim dunia.


Dengan suhu dunia kini semakin meningkat, sebarang penambahan suhu walaupun sedikit bakal memberikan kesan kepada bumi kita. Dengan itu, sebarang usaha walaupun minimal bagi memelihara alam amat sangat membantu. Dengan kefahaman yang baik tentang penjagaan alam sekitar, kesedaran diri yang mula timbul ini patut kita perluaskan kepada keluarga, teman-teman mahupun rakan kerja bagi mengurangkan polusi alam dari sudut penggunaan gas CO2 sebagai contoh.


Air Polution

Penggunaan kenderaan yang bersumberkan petrol merupakan antara penyumbang terbesar peningkatan GHGs di dunia. Lantaran itu, dari semasa ke semasa kita akan dapat lihat kempen-kempen bebas dari kenderaan di jalan-jalan raya utama di seluruh dunia, mahupun polisi-polisi tertentu alam sekitar bagi sesetengah negara yang mengambil berat tentang penjagaan alam sekitar. Perkara yang sama sebenarnya, boleh kita implementasikan terhadap diri sendiri dan keluarga. Jika kita mempunyai kenderaan, mungkin kita boleh wajibkan diri sendiri sehari pada setiap minggu untuk menggunakan kenderaan awam. Jika kita mempunyai teman-teman sekerja yang mempunyai destinasi yang sama ke tempat kerja, kita boleh silih berganti berkongsi kenderaan. Dengan itu, secara tidak langsung dapat mengurangkan kenderaan di jalan raya serta emisi karbon dan penggunaan GHGs.


Begitu juga dengan penjimatan dalam penggunaan elektrik dalam kehidupan seharian kita baik di rumah mahupun pejabat seperti penggunaan alat hawa dingin contohnya. Pengurangan beberapa suhu darjah alat hawa dingin sebenarnya memberikan kesan yang amat ketara kepada alam sekitar. Katakan, kita biasa meletakkan alat hawa dingin di rumah atau di pejabat pada kadar suhu 17 atau 18c, maka naikkanlah kepada kadar suhu 21c atau 23c. Malah andainya, cuaca terlalu panas, selepas seketika meletakkan suhu penghawa dingin pada kadar suhu yang rendah seperti pada kadar 20c contohnya, naikkanlah suhu tersebut kepada kadar kadar suhu 23c atau 24c apabila suhu bilik sudah kembali dingin. Pastikan juga suis ditutup sebaik sahaja alat hawa dingin tersebut tidak digunakan.


Reducing Usage of Aircon

Ia nampak kecil, tapi impaknya sangat besar kepada alam sekitar. Bayangkan, jika setiap dari kita memainkan peranan tersebut, pastinya beribu atau beratus ribu kilogram karbon dapat dijimatkan, dan bumi tempat tinggal kita akan lebin dingin dan sejahtera. Malah bil elektrik pastinya dapat turut dijimatkan. Ingatlah, segalanya, bukan hanya untuk diri kita, tapi juga untuk generasi selanjutnya, generasi anak cucu-cicit kita juga.


Kesimpulan

Pada akhirnya, kita perlu jelas dan sedari bahawa segala perkara yang bersangkutan dengan alam sekitar dan kelestariannya adalah sesuatu yang perlu sentiasa dekat di hati kita. Kita perlu mengambil berat akan hal ini, kerana ia sebahagian dari perkara yang boleh menjejaskan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah s.w.t. Sebagai khalifah Allah, kita mempunyai misi menjaga dan memelihara bumi dan alam sekitarannya sebagai tempat tinggal kita, agar ia lebih sejahtera dan diberkati.


Dengan semua penduduk bumi memainkan peranan masing-masing terutamanya kita selaku seorang Muslim dan Mukmin selaku khalifah Allah, InshaAllah, kita harapkan perubahan iklim akan lebih terkawal, dan kehangatan bumi akan lebih terpelihara agar segala makhluk dan umat sejagat termasuk haiwan ciptaanNya dan kita umat manusia dapat hidup lebih harmoni dan lestari.

 

 

Nota: Ustaz Dr Mohammad Yusri Yubhi Md Yusoff merupakan ahli bersekutu Jawatankuasa Fatwa serta ahli Lembaga Rayuan Muis. Beliau juga merupakan perunding konten agama dan pembangunan keluarga di YusriYusoff Consulting (yusriyusoff.com).


*Artikel ini asalnya, dikirimkan untuk portal media arus perdana Singapura, namun pihak editor tidak bersetuju menggunakan tajuk asal, sebaliknya menukar perkataan 'Muslim', kepada 'Belia'. Maka saya membuat keputusan menarik balik artikel tersebut dari diterbitkan.

 

29 views0 comments
bottom of page